Isi kandungan |
1 Mac - Bermulanya "Pertandingan Kebersihan Bilik" yang dianjurkan oleh Badan Asrama. Pertandingan ini merupakan program mingguan yang menawarkan penghargaan kepada bilik yang terbaik dan denda kepada yang kurang memuaskan dari segi kebersihan. Matlamat utamanya adalah untuk melahirkan golongan huffaz yang memahami kaitan antara kebersihan dan dakwah dan dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
4-8 Mac - Majlis Pelajar MTAQ sekali lagi menganjurkan sebuah program tahunan iaitu "Sambutan Bulan Muharam" atau SALAM 1424. Objektif utamanya ialah mentarbiah para pelajar supaya dapat menghargai kepentingan tarikh & kalendar Islamiah dalam kehidupan seharian dan membangkitkan azam baru berlandaskan semangat jihad untuk menegakkan agama yang mulia. Dengan bermottokan "Hijrah Menjana Fikrah Generasi Uswah", program ini bermula pada akhir tahun 1423H iaitu 29 Zulhijah dengan bacaan doa akhir tahun diikuti dengan doa awal tahun pada malam tahun baru 1424H. Antara aktiviti yang diadakan ialah:
Kesimpulannya, Semoga program ini bakal melahirkan para pendukung Islam yang jitu dan berkualiti dalam menangani mehnah dan tribulasi yang mendatang.
28-30 Mac - MTAQ telah mengadakan sebuah program perkhemahan yang melibatkan semua warga MTAQ yang diberi nama "Mukhayyam Tarbawi 2003" dengan motto "Huffaz Mapan Masyarakat Cemerlang". Lokasi perkhemahan yang menjadi pilihan ialah Bukit Bakar, Machang. Antara aktiviti yang diadakan ialah:
Program ini sedikit sebanyak dapat melatih para pelajar supaya menjadi lebih berdisiplin, menepati masa, berdikari dan bekerjasama dalam kumpulan. Semoga ia dapat memberikan pengalaman-pengalaman baru yang berguna untuk meneruskan kehidupan yang penuh dengan cabaran.
4-7 April - Sebagai aktiviti sepanjang cuti sekolah, Badan ICT MTAQ telah menganjurkan sebuah program yang bernama "Ibnu Battuta: A Tribute". Program ini merupakan lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka. Seramai 40 orang pelajar menyertai lawatan ini. Antara tempat-tempat menarik yang dilawati sepanjang program ialah:
2-24 Julai - Peperiksaan Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ) yang dikelolakan oleh pihak Yayasan Islam Kelantan (YIK) dengan kerjasama daripada pihak sekolah telah berjalan dengan lancar dan sempurna di kampus MTAQ dengan jumlah calon adalah seramai 32 orang. Peperiksaan ini bermula dengan peperiksaan lisan Al-Quran selama dua hari yang berlangsung di Maktabah MTAQ telah dikendalikan oleh 2 orang panel. Seorang panel daripada pihak YIK dan seorang lagi mewakili pihak MTAQ yang juga merupakan salah seorang tenaga pengajar di MTAQ. Peperiksaan ini kemudiannya diikuti dengan ujian bertulis Al-Quran yang telah dijalankan di dewan MTAQ pada 24 / 07 / 2003 bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 10.30 pagi. Peperiksaan ini akan bersambung pada 06/08/2003 dengan ujian lisan Qiraat dan Hifz Mutun. Diharapkan agar semua calon telah melakukan yang terbaik dan berjaya dalam peperiksaan ini.
26 Julai - MTAQ telah menerima lawatan daripada 3 orang sheikh dari Arab Saudi dengan diiringi oleh seorang wakil daripada YIK. Rombongan ini telah disambut oleh Penolong Kanan HEM, Ust Wan Syamsuri bin Wan Abd Ghani sebagai wakil kepada Pengetua yang tidak dapat hadir pada hari tersebut. Majlis bersama pelajar telah diadakan di Masjid MTAQ. Majlis ini telah dipengerusikan oleh Ust Ahmad Mukhlis Mustafa dan dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh Saudara Mujahid bin Ahmad Lutfi. Pengerusi Majlis kemudiannya mempersilakan Ust Wan Syamsuri untuk memberikan sedikit ucapan alu-aluannya. Majlis yang menggunakan bahasa arab sepenuhnya ini diteruskan lagi dengan ucapan oleh salah seorang daripada sheikh yang hadir, Sheikh Fahd Musa. Di dalam ucapannya, beliau telah menasihatkan para Huffaz agar terus bersemangat untuk mempelajari ilmu Al-Quran. Majlis kemudiannya diikuti dengan sesi berjabat tangan dan bergambar kenang-kenangan bersama sheikh-sheikh ini. Majlis telah berakhir pada pukul 12.30 tengah hari.
6-10 Ogos - Peperiksaan SMTQ telah bersambung dengan Ujian Lisan Qiraat dan Hifzul Mutun. Ujian Lisan Qiraat telah berlangsung pada 06-07 / 08 / 2003 bertempat di Maktabah MTAQ. Panel peperiksaan adalah seramai 2 orang iaitu Al-Hafiz Ust. Othman bin Lah daripada pihak MTAQ dan Al-Hafiz Ust. Hamidani daripada pihak YIK. Ujian Hifzul Mutun pula telah diadakan pada 10 / 08 / 2003 beserta seorang panel daripada pihak sekolah iaitu Al-Hafiz Ust. Shaharudin bin Yaacob. Seorang calon peperiksaan yang terlibat dalam kemalangan kecil, Abdul Muiz bin Alias juga turut hadir untuk menjalani peperiksaan pada pagi hari peperiksaan diadakan. Beliau cedera di bahagian kaki dan dijangka bercuti selama 1 bulan.
8 Ogos - Kumpulan nasyid MTAQ telah dijemput untuk memeriahkan majlis 'Beramah-Mesra Bersama Jemaah Haji 1425 H' yang telah dianjurkan oleh Syarikat A.Rahman Brothers Travel & Tours Sdn. Bhd. Majlis ini telah diadakan di Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa dan 'Soutul Huffaz' telah mempersembahkan sebanyak 3 buah lagu. Persembahan telah bermula pada pukul 11.30 pagi dan berakhir jam 11.50 pagi. 'Soutul Huffaz' telah dianggotai seramai 11 orang pelajar MTAQ dan diketuai oleh saudara Salahuddin bin Abdul Ghani.Lagu-lagu yang telah disampaikan ialah Zikir Kaffarah, Kota Mekah dan Fajar Islam.
9 Ogos - Pasukan Beruniform Briged Bakti Negeri Kelantan MTAQ (BBNK) telah menyertai Pertandingan Pengurusan Jenazah yang diadakan di Sekolah Menegah Kebangsaan Tendong, Pasir Mas, Kelantan. Mtaq telah menghantar seramai 14 orang peserta dan telah di bahagikan kepada 2 kategori iaitu kategori A dan B. Pertandingan ini telah disertai lebih daripada 30 buah sekolah. Pertandingan ini memerlukan peserta untuk memandi, mengkafan,menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah. Dalam pertandingan ini, Pasukan BBNK MTAQ telah berjaya mendapat tempat kedua bagi kategori A dan tempat ketiga bagi kategori B. Tahniah diucapkan kepada para peserta pertandingan.
18 Ogos - 3 September - Pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan SMU tahun ini sedang menghadapi peperiksaan percubaan bermula pada 18 Ogos 2003 dengan peperiksaan bagi calon SPM. Peperiksaan percubaan SPM ini akan berakhir pada 03 September 2003. Bagi calon SMU pula, mereka telah memulakan peperiksaan pada 21 Ogos 2003 dan peperiksaan percubaan SMU ini berakhir pada 28 Ogos 2003.
31 Ogos - MTAQ telah menganjurkan majlis Wida' dengan bekas-bekas pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Maahad Qiraat Shoubra, Mesir. Majlis ini telah diadakan di Masjid MTAQ bermula pada pukul 9.45 malam. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran beberapa orang bekas pelajar daripada IPT tempatan. Ia telah dimulakan dengan ucapan daripada Saudara Nik Makarimi bin Nik Bakri sebagai wakil kepada pelajar MTAQ. Pengerusi majlis, Saudara Afzanizam bin Darawi yang juga Presiden Majlis Pelajar kemudiannya telah mempersilakan seorang demi seorang pelajar tingkatan 6 untuk memberikan ucapan terakhir mereka di bumi MTAQ ini beserta nasihat dan harapan mereka kepada pelajar-pelajar MTAQ. Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan acara berjabat tangan dan berdakap mesra buat kenangan pelajar shoubra dengan pelajar MTAQ. Untuk acara terakhir, para pelajar dan pelajar tingkatan 6 bersama-sama untuk bergambar dalam sesi fotografi. Majlis ini diakhiri dengan tasbih kaffarah dan Surah Al-Asr. Diharapkan kepada bekas pelajar yang akan ke Shoubra agar tidak memutuskan hubungan dengan pelajar-pelajar di bumi MTAQ ini, insya-Allah. Mereka akan berlepas ke Mesir pada 3 September 2003 dengan pesawat Kuwait Airways.
1 September - Maahad Tahfiz Al-Quran telah menganjurkan satu lagi majlis perpisahan dengan bekas tenaga pengajar MTAQ satu masa dahulu, Ust. Hana Pizi bin Abdullah. Majlis telah bermula pada jam 9.00 pagi sejurus selepas perhimpunan mingguan dan dipengerusikan oleh Ust. Nik Hamdi bin Abd. Ghani. Ust. Hana Pizi telah meninggalkan bumi MTAQ pada awal tahun ini dan kini bertugas sebagai Pegawai di Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan juga salah seorang imam di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Majlis dimulakan dengan ucapan oleh wakil pelajar, Saudara Afzanizam bin Darawi dan diikuti dengan ucapan oleh Ust. Ahmad Redza bin Abd. Rahman sebagai wakil guru. Pengerusi majlis seterusnya menjemput Pengetua, Ust Nasir bin Hasbullah untuk memberikan sepatah dua kata berkenaan dengan perpisahan ini. Ust Hana Pizi kemudiannya dipersilakan untuk berucap. Di dalam ucapannya, Ust Hana telah memberikan banyak nasihat dan harapannya terhadap para pelajar MTAQ untuk menjadi insan yang bertaqwa. Acara kemuncak majlis ini adalah acara penyampaian hadiah daripada guru-guru dan pelajar-pelajar MTAQ. Ust Nasir bin Hasbullah telah mewakili pihak sekolah untuk menyampaikan hadiah kepada Ust. Hana. Majlis kemudiannya disudahi dengan tasbih kaffarah dan Surah Al-Asr. Semoga Ust. Hana Pizi tidak akan melupakan dan selalu membantu kami di MTAQ.
3 September - Seramai 60 orang pelajar telah memenuhkan sebahagian daripada kawasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa apabila mereka turut serta dalam rombongan untuk menghantar bekas pelajar MTAQ yang akan berlepas ke Mesir. Pelajar-pelajar ini bertolak daripada sekolah pada pukul 1.30 petang dengan menaiki sebuah bas yang telah ditempah khas oleh pihak sekolah dan tiba di sana jam 2.30 petang. Mereka kemudiannya bersolat Zohor di surau sebelum berpeluang untuk bertemu dengan pelajar yang diraikan, para ustaz yang turut menghantar di sana dan juga bekas pelajar MTAQ yang lain. Pelajar yang akan ke Mesir ini berlepas dengan diiringi oleh Penolong Kanan 1 MTAQ, Ust Suhaimi bin Sulaiman yang mewakili pihak sekolah ke sana.
4 September - Keputusan Peperiksaan Percubaan SMU telah diumumkan pada hari ini oleh Tuan Mudir MTAQ di dalam perhimpunan mingguan sekolah. Peratus kelulusan peperiksaan adalah sebanyak 96.9 peratus dan 65 peratus berjaya mendapat keputusan dengan pangkat 1 daripada calon-calon yang menduduki peperiksaan tersebut dan 6 orang daripada mereka mendapat 6 agregat. Saudara Mohd Faris bin Makhtaruddin telah diumumkan sebagai pelajar cemerlang peperiksaan ini. Diharapkan semoga calon-calon dapat mempertingkatkan lagi usaha dalam menghadapi peperiksaan sebenar SMU. Keputusan percubaan SPM diberitakan akan diumumkan tidak berapa lama lagi.
25 September - Setiausaha Peperiksaan MTAQ, Ust Ahmad Sabri bin Nawi telah mengumumkan keputusan Peperiksaan Percubaan SPM pada pagi ini di perhimpunan mingguan MTAQ. Calon-calon SPM pada tahun ini telah berjaya mengekalkan 100% peratus lulus peperiksaan. Seramai 3 orang daripada 28 orang calon yang menduduki peperiksaan telah muncul sebagai pelajar terbaik dengan memperolehi 7A. Mereka ialah Mohd Sofhan bin Abdullah, Ahmad Fakruddin bin Razali dan Mohd Nurhakimin bin Baruddin. Semoga calon-calon SPM pada tahun ini dapat mengekalkan dan meningkatkan lagi usaha untuk menghadapi peperiksaan yang bakal tiba.
27 September - Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat telah mengadakan satu seminar untuk calon-calon SPM MTAQ hari ini. Tujuan seminar ini diadakan ialah untuk membantu calon SPM agar lebih bersedia dalam menghadapi 2 subjek SPM, Prinsip Akaun dan Ekonomi. Seminar ini diadakan di Maktabah MTAQ dan telah dihadiri oleh semua calon SPM. Ia telah bermula pada pukul 8.30 pagi sehingga 11.00 pagi untuk mata pelajaran Prinsip Akaun yang telah dikendalikan oleh Pn. Mashitah dan bersambung pada pukul 11.30 pagi selepas rehat sehingga pukul 1.30 tengah hari untuk mata pelajaran Ekonomi Asas oleh Pn. Noraini. Kedua-dua penceramah ini telah dijemput khas daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Machang.
7 Oktober - Satu majlis Restu Ilmu telah diadakan oleh pihak MTAQ. Majlis ini telah diadakan di Maktabah MTAQ bermula pada pukul 11.45 pagi. Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada calon-calon peperiksaan MTAQ memohon kemaafan dan meminta restu daripada para ustaz telah mengajar mereka. Mereka yang terlibat dalam majlis ini adalah para ustaz dan guru juga calon-calon SMU dan SPM '03 MTAQ.
Majlis ini telah dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh Saudara Mujahid bin Ahmad Lutfi. Pengerusi majlis, Saudara Afzanizam bin Darawi seterusnya menjemput wakil kelas 1 Aliah, Saudara Wan Mohd Aizuddin dan diikuti oleh Saudara Nurhakimin Baruddin yang mewakili 2 Aliah untuk menyampaikan ucapan mereka kepada para ustaz. Majlis ini diteruskan dengan ucapan oleh Ustaz Abdul Rahman Al-Qari sebagai Guru Kanan Al-Quran untuk memberikan sepatah dua nasihat kepada calon-calon.
Kemudian, Pengerusi majlis mempersilakan Mudir MTAQ, Ustaz Nasir bin Hasbullah pula untuk berucap. Di dalam ucapannya, Tuan Mudir telah menasihatkan calon-calon agar membuang segala tabiat dan sifat yang buruk sebelum menghadapi peperiksaan. Beliau juga menyarankan supaya calon-calon menambahkan lagi usaha di samping berdoa dan tawakkal kepada Allah semoga dipermudahkan untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan.
Acara kemuncak menyusul selepas itu dengan slot memohon restu dengan para murabbi MTAQ. Dimulakan dengan kelas 1 Aliah untuk berjabat tangan memohon maaf dan restu daripada para ustaz dan guru dan diikuti dengan kelas 2 Aliah. Majlis kemudiannya di tangguh dengan tasbih kaffarah dan surah Al-Asr.
7 Oktober - Pihak MTAQ telah menganjurkan program Solat Hajat Peperiksaan pada tengah hari ini dengan menjemput para ustaz dan bapa-bapa calon peperiksaan untuk sama-sama menjyakan program ini. Solat Hajat ini telah didakan di Masjid MTAQ dan dimulakan dengan solat Zohor dan diikuti solat Hajat secara berjemaah dengan diimami oleh Encik Abdul Ghani. para bapa dan ustaz kemudiannya dijemput untuk menjamu selera di kantin.
13-22 Oktober - Peperiksaan SMU 2003 telah bermula pada hari ini dan akan berlangsung sehingga 22 Oktober 2003. Peperiksaan yang dikendalikan oleh pihak Yayasan Islam Kelantan ini diadakan di dewan MTAQ dengan dikawal-selia oleh 2 orang pengawas peperiksaan daripada YIK. Seramai 32 orang calon yang menduduki peperiksaan ini di MTAQ bermula dengan kertas Qiraat.
26 Oktober - Pihak MTAQ telah menghantar seramai 11 orang pelajar yang terdiri daripada lepasan pelajar SMU ke Pusat Bahasa Arab (PBA), Nilam Puri bagi mengikuti Kursus Bahasa Arab untuk pelajar-pelajar yang sedang menunggu keputusan PMR dan SMU dan berlangsung selama 1 bulan sepanjang bulan Ramadhan. Para peserta telah mendaftarkan diri di PBA seawal 9 pagi dan seramai 150 orang peserta dari seluruh Malaysia telah hadir untuk mengikuti kursus tersebut. Para peserta telah dikenakan yuran sebanyak RM80 untuk kos sepanjang kursus diadakan termasuk penginapan dan makanan. Seorang pelajar MTAQ, Mohd Fairiz bin Rosli telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai presiden Majlis Pelajar PBA. Beliau juga telah berjaya mengharumkan nama MTAQ setelah memperolehi keputusan yang cemerlang secara keseluruhannya. Kursus ini telah berakhir pada 20 November 2003.
28 Oktober - Bagi menyambung tradisi MTAQ pada setiap tahun, pada tahun ini MTAQ meneruskan lagi program tahunannya iaitu Program Terawikh Mega Tour. Program ini melibatkan beberapa orang pelajar untuk mengimami solat Terawikh di masjid-masjid yang telah ditentukan oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan di seluruh Kelantan. Para pelajar dihantar ke jajahan-jajahan negeri Kelantan dengan bas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dan terdapat juga pelajar yang telah ke luar negeri Kelantan untuk mengimami solat terawikh selama sebulan seperti di Kuala Lumpur dan Perlis.
6 November - 6 Disember - Pelajar-pelajar MTAQ pulang ke kampung masing-masing apabila cuti persekolahan semester akhir tahun bermula hari ini. Para pelajar dibenarkan pulang pada pukul 11 pagi selepas pemeriksaan kebersihan bilik dilakukan oleh pengetua, Ustaz Mohd Nasir bin Hasbullah. Diharapkan para pelajar dapat memanfaatkan masa yang ada sepanjang bercuti dengan perkara yang berfaedah. Pihak webmaster juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua warga MTAQ.
20 November - Bagi pelajar-pelajar yang baru memperolehi keputusan UPSR 2003 dan berminat untuk melanjutkan pelajaran ke MTAQ, permohonan untuk borang kemasukan pelajar baru ke MTAQ pada tahun 2004 telah dibuka pada hari ini setelah keputusan UPSR diumumkan. Mereka boleh mendapatkan borang tersebut di pejabat MTAQ dengan bayaran sebanyak RM5 dan permohonan untuk borang ini akan ditutup 2 minggu selepas tarikh ini. Untuk mendapatkan borang, pelajar perlu mendapat sekurang-kurangnya 4A 1B. Temuduga untuk pelajar yang memohon masuk ke MTAQ akan diadakan pada 7 Disember 2003.
7 Disember - Para pelajar MTAQ telah kembali ke kampus MTAQ setelah pulang bercuti lebih kurang 1 bulan di kampung. Sesi persekolahan pada semester kali ini akan berlangsung selama 3 minggu dan para pelajar akan mengikuti beberapa aktiviti yang telah disusun oleh pihak sekolah termasuk Muktamar Majlis Pelajar 2003 kali pertama.
13-17 Disember - Majlis Pelajar MTAQ akan menganjurkan sebuah program yang tidak pernah diadakan sebelum ini iaitu, Muktamar Majlis Pelajar 2003. Program ini akan berjalan selama 5 hari yang mengandungi pelbagai acara yang menarik termasuk kursus penyembelihan, malam kegemilangan pelajar SMU & SPM, pertandingan Debat Perdana, kursus penyempurnaan solat. Majlis perasmian pembukaan akan disempurnakan oleh Penolong Kanan HEM MTAQ, Ustaz Wan Samsuri bin Abd. Ghani pada 13 haribulan tepat jam 9 malam. Idea untuk menganjurkan muktamar ini telah dicetuskan oleh bekas pelajar MTAQ 2002, Saudara Nik Ahmad Shahir bin Nik Salleh semasa beliau memegang jawatan sebagai Presiden Majlis Pelajar ketika itu.
14 Disember - Penamaan calon untuk exco-exco Majlis Pelajar 2004 telah diumumkan oleh Ustaz Suhaimi bin Sulaiman sebagai Penolong Kanan I MTAQ di dewan MTAQ pada pagi ini. Mereka yang telah dicalonkan untuk menjadi muka-muka baru dalam Majlis Pelajar 2004 sebelum Pilihanraya Umum MP MTAQ pada sebelah petang adalah seramai 17 orang.
15 Disember - Seramai 18 orang pelajar telah diumumkan sebagai pemegang portfolio exco-exco Majlis Pelajar MTAQ bagi sesi 2004. Mereka ini adalah calon-calon yang terpilih selepas Pilihanraya Umum MTAQ berlangsung semalam dan telah pun dipersetujui oleh pihak pentadbiran sekolah. Majlis Pelajar pada kali ini akan diterajui oleh Saudara Khairul Anuar bin Md. Ariff selepas dilantik menjadi Presiden Majlis Pelajar. Pada tahun ini juga, MP MTAQ telah menambah seorang lagi exco untuk badan yang baru ditubuhkan iaitu exco Bilik Gerakan dan Tayangan. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, sila rujuk di ruangan 'Majlis Pelajar'.