Isi kandungan |
2-7 Januari - Alhamdulilah, pada tahun ini dapat lagi kami mengadakan majlis tahunan untuk para pelajar yang baru mendaftar ke sekolah ini. Seperti biasa, program tahunan ini dapat berjalan dengan lancar dengan kerjasama Organisasi Majlis Pelajar 2006 dengan jayanya. Tujuan utama majlis ini diadakan pertama-tama sekalinya adalah untuk mentarbiyah semua pelajar yang baru mendaftar sebelum memasuki ataupun mengalami alam persekolahan menengah di sini. Antara acara-acara ataupun isi-isi yang dibuat adalah pertandingan Tarannum Al-Quran, pertandingan azan, pertandingan nasyid, sesi ta'aruf sesama sendiri dan bersama abang-abang senior, ceramah-ceramah motivasi dan lain-lain lagi. Jadi, didoakan semoga program ini dapat memberi impak dan kesan yang baik kepada para pelajar seterusnya mendapat keberkatan dan kerahmatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. InsyaAllah.
9-10 Januari - Nampaknya, pada tahun ini MTAQ mengadakan sekali lagi Majlis pengundian dan perlantikan Majlis Pelajar bagi sesi 2007. Tanggal 8 Januari 2007, pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Ustaz Haji Mohd Mansor bin Haji Daud telah mengumumkan nama-nama yang tersenarai sebagai calon untuk diundi oleh para pelajar bagi melantik kembali pimpinan baru sekolah ini. Sehubungan dengan itu, pada 9 Januari, bermulalah pengundian yang diwajibkan kepada semua pelajar kecuali untuk pelajar-pelajar yang baru masuk bagi melantik kembali pemimpin-pemimpin yang berkaliber untuk menerajui dan memimpin semua warga MTAQ ke jalan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Seterusnya, tibalah hari yang mendebarkan bagi semua pihak iaitu pada 10 haribulan Januari 2007, keputusan pilihan raya diumumkan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Ustaz Othman bin Lah yang mana presiden Majlis Pelajar pada tahun ini jatuh kepada Mohd Fathan Adi bin Tarmizi iaitu bekas Exco Badan Al-Quran Wal Qiraat pada tahun lepas. Manakala timbalan presiden pula disandang oleh Ahmad Azrin Afiq bin Che Rahim, pelajar tingkatan 4 yang baru sahaja dilantik menjadi MP, tetapi sudah dinaikkan pangkat sehingga ke tahap timbalan presiden merangkap Exco Badan Dakwah & Kepimpinan pada tahun ini. Wah, memang berkaliber nampaknya! Kemudian, bagi Naib Presiden 1 merangkap Exco Badan Displin pula jatuh kepada saudara Mohd Nur Waafi bin Badruldeen yang mana beliau adalah bekas Exco Badan Teknologi Maklumat (ICT) pada tahun lepas. Bagi Naib Presiden 2 pula yang merangkap Exco Badan Asrama telah diberikan kepada Azuhan bin Fauzi, bekas timbalan presiden pada tahun lepas. Apabila ditanya mengapakah beliau diturunkan pangkat, beliau enggan mengulas dengan lebih lanjut. Yang saya tahu bahawa beliau ada sebab-sebab tertentu untuk tidak menjadi presiden sedangkan beliau adalah orang yang paling layak menyandang pangkat itu. Bagi Naib Presiden 3 yang merangkap sebagai Exco Badan Kaunseling pula jatuh kepada Izhaar Fazlie bin Amin Buhari yang mana beliau juga pelajar tingkatan 4 yang baru dilantik menjadi MP. Nampaknya pelajar-pelajar tingkatan 4 ini memang berkaliber! Hehe.. Manakala setiausaha MP pada tahun ini jatuh kepada Ahmad Zaki bin Haris dan bendahari pula jatuh kepada Ahmad Syakir bin Nasuruddin, juga pelajar tingkatan empat. Bagi exco-exco lain pula disandang oleh Mohd Faiz bin Hamdan sebagai Exco Sukan & Kegiatan, Wan Abdul Baith Izzuddin sebagai Exco Teknologi Maklumat (ICT), Mohd Izhan bin Mohd Zuki sebagai Exco Pusat Sumber, Mohd Asyraf bin Anuar sebagai Exco Kebajikan & Kesihatan, Mohd Fikri bin Mat Ali sebagai Exco Bilik Tayangan, Abdul Fatah bin Razali sebagai Exco Bahasa Arab, Mohd Fakhrullah bin Alias sebagai Exco Kedai Sekolah, Ahmad Hafizan bin Ariffin sebagai Exco SPBT, Muhammad Faiz bin Hussin Shokri sebagai Exco Redaksi & Pameran, Mohd Syuaib Al-Hafiz bin Husin sebagai Exco Kebersihan & Keceriaan, Mohd Azfar bin Suhaimi sebagai Exco Kurikulum, Wan Mohd Usaid bin Wan Subki sebagai Exco Infrastruktur & Pembangunan dan Mohd Shamil Azwan bin Sahari sebagai Exco Al-Quran & Qiraat. Semoga Majlis Pelajar bagi sesi 2007 ini dapat bergerak dengan baik dan dapat menjalankan amanah ini dengan sebaiknya. InsyaAllah.
9 Januari - Pada tahun ini MTAQ sekali lagi mengadakan satu majlis perasmian tahunan iaitu Majlis Pelancaran Pidato & Usrah serta Perlantikan Naqib sesi 1428H. Majlis ini telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan Exco Badan Dakwah & Kepimpinan, Ahmad Azrin Afiq bin Che Rahim selaku pengerusi majlis kemudian disusuli dengan bacaan Al-Quran untuk memberkati lagi majlis tersebut. Kemudian, majlis tersebut diserahkan kepada Ustaz Asmazawawi selaku penasihat Biro Usrah, Badan Dakwah & Kepimpinan untuk mengumumkan nama-nama naqib pada tahun ini seterusnya mengumumkan juga nama serta bahagian-bahagian kumpulan usrah kerana majlis ini diwajibkan kepada semua pelajar MTAQ. Bagi tingkatan 4,5 dan 6, naqib-naqib yang dilantik untuk mereka adalah daripada kalangan ustaz manakala bagi tingkatan 1,2 dan 3, naqib-naqib yang diberikan kepada mereka adalah daripada kalangan pelajar sendiri yang terdiri daripada naqib dan penolong naqib. Tidak ketinggalan juga ustaz sebagai mursyid mereka semua. Seterusnya majlis diserahkan kepada Penolong Kanan Pentadbiran, Ustaz Othman bin Lah untuk merasmikan majlis tersebut sekaligus mengumumkan perlantikan Majlis Pelajar bagi sesi 2007 kerana ketiadaan pengetua pada masa tersebut. Majlis Pidato & Usrah akan diselang-selikan pada setiap hari Rabu, pukul 1.30 tengah hari seterusnya menjadikan majlis tersebut sebagai waktu pembelajaran rasmi sekolah. Majlis pidato pada tahun ini akan diadakan mengikut kelas contohnya apabila tiba giliran majlis Pidato, 6 orang megikut turutan daripada kelas 1 ataupun A akan dipindahkan ke kelas 2 ataupun B untuk menyampaikan pidato masing-masing. Begitu juga hal keadaannya dengan kelas 2 akan dipindahkan ke kelas 1 untuk menyampaikan pidato yang telah ditetapkan tajuknya untuk mereka. Bagi Usrah pula, setiap kumpulan terdiri daripada sepuluh orang pelajar berbeza dengan tahun lepas cuma enam orang sahaja. Tempat yang ditetapkan ketika usrah kali pertama diadakan tidak boleh diubah ataupun dipinda kerana kekurangan tempat.
18-31 Januari - Program Sambutan Awal Muharram ini tidak asing lagi dalam konteks MTAQ khususnya dan untuk umat Islam seluruhnya samada yang berada di Malaysia ataupun di Indonesia mahupun di negara-negara lain yang sama waktu dengannya.
Jadi, pada tahun ini, Alhamdulillah MTAQ dapat lagi mengadakan program tahunan yang paling lama dalam sejarah MTAQ iaitu selama 14 hari atau dipendekkan lagi namanya menjadi 2 minggu. Yang paling hebat sekali dalam sejarah Program SALAM anjuran Majlis Pelajar ini, kertas kerja yang diangkat kepada mudir hanyalah sekali cuma, iaitu dengan menggunakan anak saudaranya yang telah dilantik sebagai timbalan pengarah program iaitu Ahmad Syakir bin Nasuruddin semasa hendak mengangkat kertas kerja tersebut. Tahniah!
Program Salam ini sebenarnya dibuat bertujuan untuk mentarbiyah dan untuk mengingatkan kembali takwim Hijrah di mata masyarakat yang semakin pudar ditelan masa dan waktu. Ia dimulai dengan ucapan pengerusi majlis, saudara Mohd Fathan Adi bin Tarmizi. Kemudian, disusuli pula dengan bacaan merdu ayat-ayat suci Al-Quran oleh saudara Mohd Asyraf bin Mohd Anuar pelajar dari tingkatan 5. Seterusnya majlis dirasmikan oleh yang berusaha tuan pengetua MTAQ, ustaz Haji Mohd Mansor bin Haji Daud. Tidak ketinggalan juga ucapan daripada Pengarah Program, saudara Nik Mohd Arsyad bin Nik Man.
Antara isi-isi program yang telah diadakan termasuklah pertandingan menulis sajak, melukis poster, mengarang esei, tahfiz Al-Quran, kuiz perdana, debat perdana, cabaran tariking F&N, Treasure Hunt, Merentas desa, Malam Tautan Ukhuwah, penyembelihan burung puyuh dan pengacauan bubur Asyura. Setiap pelajar diwajibkan membayar RM5 seorang bagi menampung kos burung puyuh dan bubur Asyura tersebut. Pada 9 dan 10 Muharram juga para pelajar MTAQ diwajibkan berpuasa sunat Tasu'a dan 'Asyura.
Tetapi, pada tahun ini, masa yang diperuntukkan untuk membuat kertas kerja dan isi-isi serta tentatif progaram hanyalah seminggu sahaja. Bayangkan, dalam masa seminggu Majlis Kerja Tertinggi ( MKT ) program telah bertungkus-lumus berbincang dan bermesyuarat bagi melahirkan kepuasan untuk semua pihak dari setiap sudut program! Agak memenatkan juga tapi pihak AJK akan melakukan yang sebaiknya untuk semua pihak samada di pihak ustaz ataupun di pihak pelajar sendiri. Mujurlah, kertas kerja itu dapat diangkat ke pihak atasan dengan mudah dan peruntukan yang diberikan agak memuaskan walaupun sedikit. Sehubungan dengan itu, Pihak AJK terpaksa memohon lebih banyak sumbangan daripada mana-mana pihak yang ikhlas. Alhamdulillah, program dapat berjalan dengan lancar walaupun mendapat sedikit ujian dan kesusahan pada mulanya.
Acara merentas juga diadakan pada tahun ini sejauh kira-kira 10 kilometer jaraknya. Merantas desa pada tahun inilah yang paling jauh berbanding tahun-tahun yang lain. Baru adventure. Larian tersebut bermula dari perkarangan MTAQ bertolak ke Markaz PAS di Pangkal Gong, seterusnya melalui Jalan Kemubu kemudian melintasi Jalan Pulai Chondong dan mula masuk ke kebun getah sehinggalah ke garisan penamat. Semua AJK ditugaskan untuk menjaga check point. Ada juga kumpulan yang terdiri daripada pihak AJK sendiri tersesat sehingga keluar di Kok Lanas dan kembali semula dengan menumpang lori. Hehe.
Tidak lupa juga kepada program Malam Tautan Ukhuwah yang mana semua pelajar diwajibkan membuat 2 persembahan samada lakonan ataupun nasyid dalam masa 15 minit sahaja.
Seterusnya diadakan juga barbeque puyuh oleh semua pelajar MTAQ untuk memeriahkan lagi majlis yang diadakan setahun sekali ini.
Pada akhir program pula diadakan sesi komentar oleh semua pelajar bersama AJK untuk memperbetulkan lagi program SALAM yang akan diadakan pada tahun hadapan.
Seterusnya majlis perasmian penutup pada pagi Rabu yang berseri beserta dengan majlis penyerahan sijil penghargaan kepada semua AJK dan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan dan kepada kumpulan yang menjuarai markah keseluruhan.
Oleh itu, marilah kita sama-sama mendoakan agar program Sambutan Awal Muharram ini dapat dibuat dengan lebih baik lagi pada masa hadapan supaya takwim Hijrah akan lebih diingati dan tidak terlupus daripada mata masyarakat. InsyaAllah.
6 Februari - Sebelum tibanya hari yang dinanti-nantikan ini, gotong-royong telah diadakan sebanyak 4 kali ataupun 4 hari untuk menyambut ketibaan sultan selama 14 minit. Bermakna, seminggu MTAQ 'bercuti' memandangkan ustaz-ustaz terlalu sibuk untuk menguruskan ketibaan sultan nanti. Perbarisan untuk menyambut sultan terdiri daripada pelajar tingkatan 1 dan 2 dan tidak lupa juga pelajar-pelajar perempuan dari Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah turut berbaris memegang bendera negeri Kelantan. 6 buah sekolah dijemput hadir yang mana 4 dari Maahad Tahfiz Sains manakala 2 buah lagi dari sekolah menengah biasa. Gotong-royong tersebut termasuklah mengecat pagar, mengutip sampah, mencuci kolam ikan, menggantikan cermin nako yang pecah, menggunting pokok, mengalih dan membersihkan pasu, dan lain-lain lagi aktiviti yang dilakukan oleh para pelajar. Solat Hajat Perdana juga diadakan pada malam sebelum ketibaan sultan kelantan. Masjid yang akan dibina ini dititahkan sultan untuk siap sebelum tahun hadapan. Jadi, setelah mesyuarat diadakan, masjid tersebut dijangaka siap sebelum tibanya Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini. InsyaAllah. Majlis Peletakan Batu Asas Masjid Keputeraan Pulai Chondong ini disempurnakan oleh KDYMM Al-Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra sendiri. Beliau datang bersama kerabatnya tepat jam 12.45 tengah hari. Tidak ketinggalan juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat turut serta menghadirkan diri ke majlis ini menambahkan lagi kunjungan masyarakat ke MTAQ. Majlis dimulai dengan lagu Al-Sultan Kelantan yang bergema ke seluruh pelusuk Pulai Chondong. Kemudian, majlis diserikan dan diberkatkan lagi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh yang berbahagia Penolong Kanan Hal Ehwal Murid MTAQ, Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman. Kemudian, diberikan pula mikrofon kepada Tuan Guru untuk menyampaikan sedikit amanat dan pesanan untuk kesejahteraan umat Islam seluruhnya. Selepas itu, bermulalah Majlis Peletakan Batu Asas tersebut oleh KDYMM Al-Sultan Kelantan sendiri. Diselangi dengan seruan Azan Makkatul Mukrromah, maka selesailah majlis tersebut. Kemudian, beliau diiringi untuk ke rumah seorang D/O di Machang untuk menyantap santapan tengahari. Seterusnya, tibalah giliran para pengunjung untuk menikmati sedikit jamuan rakyat yang disediakan di tapak perhimpunan, kantin, bawah garaj, bangunan sekolah baru dan hadapan bangunan sekolah. Lembu yang diperuntukkan untuk membuat jamuan ini adalah sebanyak 7 ekor dan dibuat gulai dengan menggunakan enam kawah besar di tepi masjid MTAQ. Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama doakan agar masjid yang dibina ini mendapat kerahmatan dan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
15-20 Februari - Program ini telah dicadangkan oleh salah seorang alumni MTAQ, Ustaz Nik Mohamad Bin Nik Man. Tujuan program ini diadakan adalah kerana di MTAQ sekarang banyak terdapat perselisihan pendapat tentang agama Islam. Jadi, dengan adanya program ini dapat lagi menjelaskan tentang khilaf-khilaf para Ulmak berkaitan dengan agama Islam. Program sulung selama 5 hari ini telah diisi dengan bermacam- macam ceramah yang disampaikan oleh penceramah-penceramah yang berkaliber. Semua khilaf seperti qunut, doa selepas sembahayang, wahabi, salafi semuanya dijelaskan dengan begitu teliti bagi mengelakkan perbalahan saudara di MTAQ. Kebanyakan penceramah dijemput dalam kalangan alumnni sendiri, terutamanya yang sedang menuntut di KIAS. Pada malam terakhir, sekali lagi program ini diserikan dengan mengadakan BBQ bersama alumni-alumni MTAQ. Para pelajar diminta untuk membayar sebanyak RM3 bagi menjayakan program BBQ pada malam tersebut. Ia sangat meriah dengan gelak ketawa para alumni bermesra dengan para pelajar ditambah lagi dengan bihun goreng dan air jagung yang disediakan oleh pihak AJK. Walaupun terdapat sedikit kesulitan pada mulanya, namun Alhamdulillah, program ini dapat berjalan dengan baik sekali. Jadi, didoakan agar program ini dapat menambahkan lagi kefahaman pelajar-pelajar MTAQ tentang agama Islam, seterusnya dapat disebarkan ke seluruh umat manusia yang jahil pada masa kini.
12-15 Mac - Seperti biasa, tiap-tiap tahun pasti diadakan pertandingan ini. Dan tempatnya tidak lain tidak bukan, Balai Islam di Lundang. Seramai lebih kurang 35 orang telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut sama ada kategori 1-5 juzuk, 1-15 juzuk ataupun 1-30 juzuk. Pada tahun ini, ramai juga yang mahu menyertai, tetapi tidak dapat menyertai kerana pertandingan tersebut diadakan pada waktu cuti. Jadi, ramai dikalangan pelajar-pelajar luar yang ingin menyertai sudah membeli tiket pulang ke rumah masing-masing. Kemudian, pada hari terakhir pertandingan, iaitu pada hari Khamis bersamaan 15 haribulan Mac 2007, majlis penutup merangkap majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang. MTAQ telah mendapat tempat dalam kategori 1-15 juzuk dan 1-30 juzuk. Bagi kategori 1-15 juzuk, Mohamad Abdul Fatah Bin Razali telah menyandang tempat pertama. Bagi Kategori 1-30 juzuk, Muhamad Zubair Bin Mayuti telah mendapat tempat kedua dan pesaingnya, Mohd Issyam Bin Ismail telah menduduki tempat ketiga. Pelajar harapan MTAQ, Mohd Abdul Fatah Bin Razali akan bertolak ke negeri Terengganu Darul Iman pada 9 haribulan April 2007 untuk mewakili negeri Kelantan bagi kategori 1-15 juzuk peringkat kebangsaan. Akhir kalam, marilah kita sama- sama doakan kejayaan beliau dalam pertandingan tersebut. Amin.
12 Mac - Tibalah hari yang ditunggu-tunggu bagi semua pelajar SPM 2006 di MTAQ khususnya dan seluruh pelajar di negara Malaysia amnya. Keputusan MTAQ pada tahun ini masih mengekalkan kecemerlangannya walaupun keputusan pada tahun ini agak menurun sedikit. Pada hari penyerahan slip peperiksaan, banyak ragam yang dapat dilihat. Kebanyakannya menangis. Sama ada tangisan kegembiraan ataupun tangisan kesedihan. Purata pada tahun ini menurun berbanding tahun sebelumnya iaitu Gred Purata Keseluruhan (GPK) 2.27. Keputusan pada tahun ini mencatatkan GPK 2.72. Seramai 5 orang mendapat keputusan cemerlang iaitu 11A. Mereka adalah Mohd Issyam bin Ismail, Mohd Syafiq bin Safiain, Muslihuddin bin Shaary, Abdul Muizz bin Zamani dan Wan Mohd Ihsan bin Wan Abdullah.
Yang lainnnya, masih lagi mencatatkan keputusan yang baik. Berkat usaha dan kegigihan serta doa daripada para guru, MTAQ telah mengekalkan keputusan 100% sejak tahun 2000. Namun, masih lagi tidak dapat memecahkan rekod yang telah dibuat pada tahun 2003 dan 2005. Pelajar cemerlang bagi MTAQ dan seluruh negeri Kelantan yang mendapat 9A ke atas, dijemput untuk menghadiri perjumpaan bersama Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat di Dewan Jubli Perak baru-baru ini. Mereka telah mendapat saguhati sebanyak RM500 setiap seorang daripada Kerajaan Negeri Kelantan.
15 April - Pelajar Tahun Satu dan Dua di Maahad Qiraat Al-Azhar, Shoubra baru sahaja mula menghadapi peperiksaan pada hari ini. Doakan supaya mereka berjaya!
15—29 Mei—Pelajar MTAQ selesai menjalani peperiksaan pertengahan tahun yang mana berjalan selama 2 minggu berturut-turut.Kebanyakan pelajar masing-masing sudah bersedia untuk menghadapi peperiksaan ini.Terutama kepada Genarasi 24 yang sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Semoga seluruh pelajar di MTAQ mendapat keputusan yang baik pada peperiksaan kali ini.
29 Mei-3 Jun—Sebuah lawatan sambil belajar anjuran badan Asrama Maahad Tahfiz Al-quran Wal Qiraat telah diadakan pada tahun ini. Lawatan selama 4 hari yang bermula pada hari Selasa, pagi dan berakhir pada hari Ahad, malam telah pergi melawat ke pelbagai tempat yang menarik serta boleh diambil sebagai pengajaran, sesuai dengan namanya Lawatan Sambil Belajar. Lawatan ke Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Melaka itu telah mendapat sambutan hebat daripada semua pihak samada daripada pihak guru ataupun daripada pihak pelajar sendiri. Bayaran sebanyak RM120 diwajibkan untuk semua peserta bagi merealisasikan lawatan yang diberi nama Kembara As-Syafie 2007. Pengarah program, Izhaar Fazlie bin Amin Buhari berkata "Saya tidak sangka begitu cepat sekali bagi saya untuk mengumpul nama-nama peserta lawatan ini sekaligus menyebabkan saya berasa lawatan ini InsyaAllah akan mendapat sambutan yang baik serta berjalan lancar dengan kerjasama ahli-ahli lawatan dan saya doakan agar program lawatan pada masa hadapan pun mendapat sambutan yang memberangsangkan". Jadi, marilah kita semua sama-sama menyahut kata2 pengarah dan sama-sama mendoakan agar program lawatan pada masa hadapan mendapat pengajaran dalam lawatan serta mendapat rahmat dan maghfirah daripada Allah Taala. InsyaAllah.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, MTAQ sekali lagi mengadakan Sambutan Hari Guru. Banyak acara yang telah dipertandingkan kepada para guru. Moto pada tahun ini ialah 'Guru penjana Modal Insan Gemilang'.
1 Julai—Seperti biasa, cuti sekolah selama sehari.
2 Julai—Bahang suasana peperiksaan bagi pelajar Tingkatan Empat dan Lima kian terasa. Generasi 24 khususnya akan menghadapi peperiksaan yang akan menguji kefahaman serta ingatan mereka semua terhadap al-Quran. Para pelajar nampaknya pasti akan melakar sejarah pada tahun ini, insya-Allah.
7 - 10 Julai—Sebagaimana yang dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini, kem kecemerlangan bagi SMTQ dan SPM masih lagi dapat dijalankan untuk mencapai target misi pada tahun ini iaitu "2007:MTAQ Di Puncak Kegemilangan". Kem ini berlangsung selama 4 hari 3 malam bertempat di Pusat Pembangunan Ummah Kelantan (PUPUK), Labok, Machang.
15 Julai—Peperiksaan SMTQ al-Quran akan dijalankan selama lima hari. Doakan kejayaan pelajar Tingkatan Empat!!!
Dua orang Ulama' ataupun pensyarah daripada Universiti Islam Madinah datang ke MTAQ untuk melihat keadaan sekolah ini yang dikatakan cemerlang. Dan Alhamdulillah, khabar angin tersebut telah dipersetujui oleh dua orang pensyarah tersebut. Moga-moga, apa yang menjadi khabar angin tersebut bukan hanya sekadar khabar angin sahaja, tetapi menjadi realiti! Insya Allah.
Namanya tidak asing lagi di bibir-bibir para Ulama. Sheikh Isa Al-Maasrawi, Ketua Qura' Mesir, Ulama' besar Qiraat dan Hadis telah datang membuat lawatan ke MTAQ. Lawatan ini adalah untuk menentukan sama ada Mu'adalah STTQ akan diteruskan ataupun tidak. Tempoh percubaan cuma tinggal lagi 2 tahun iaitu sehingga tahun 2009.
16 Ogos—Sebelum gotong-royong dan mesyuarat PIBG diadakan pada tengah harinya, MTAQ masih sempat lagi menyelitkan tazkiayatun nufus kepada para pelajar dengan mengadakan sesi ceramah Isra' Mi'raj Rasulullah SAW ke Sidratul Muntaha. Perhimpunan pagi juga turut diadakan.
16 Ogos—Bersamaan hari Khamis ini, MTAQ telah mengadakan mesyuarat tahunan ataupun dengan nama lain mesyuarat agung PIBG. Mesyuarat ini telah menjemput semua ibu bapa para pelajar untuk sama-sama menghadiri lagi memeriahkan majlis ini. Beberapa orang pegawai daripada Yayasan Islam Kelantan (YIK) juga turut sama menghadirkan diri. Sebelum itu, gotong-royong yang melibatkan semua pelajar dan guru telah diadakan bagi memastikan kawasan sekolah dalam keadaan bersih dan cantik sebelum mesyuarat diadakan.
17 Ogos—MTAQ mula bercuti selama 9 hari dan akan dibuka kembali pada 25/8 depan. Kelas pengukuhan Al-Quran bagi tingkatan 1,2,3 juga turut sama memeriahkan cuti ini. Manakala bagi tingkatan 4 pula, peperiksaan sebenar lisan Bahasa Arab SMTQ akan diadakan pada 22-23/8, juga ketika musim cuti. Jawab elok-elok ye.
11 September—Berita dari Mesir: Segerombolan pelajar baru Shoubra untuk sesi pengajian 2007/08 bersama-sama guru pengiring, termasuk Tuan Pengetua, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Selamat datang diucapkan kepada perantauan dari Malaysia.
20 Oktober—Solat Hajat di tingkat 2, bangunan baru MTAQ Majlis Mencari Keredhaan ibu bapa sebelum menduduki peperiksaan akan datang.
22 Oktober—Para pelajar tingkatan 4 merangkumi generasi 24 akan menduduki peperiksaan bertulis SMU hari ini. Didoakan kecemerlangan mereka dalam menempuh ujian duniawi tersebut. Semoga mereka dapat mencapai target MTAQ pada tahun ini, "2007:MTAQ Di Puncak Kegemilangan".
22 - 25 Oktober—Bertempat di Sri Melawi, Bachok, Kelantan Melibatkan keseluruhan pelajar SPM di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat. Doakan kejayaan mereka dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi nanti. Jazakallahu khaira..
1 November—Seperti biasa, setiap pembukaan ada penutupnya. Oleh kerana itu, Badan Dakwah & Kepimpinan MTAQ 2007 yang telah mengadakan aktiviti pidato & usrah pada tahun ini, akan menutupnya seperti mana tahun-tahun yang lalu. Alhamdulillah, program tersebut telah sampai kepada penghujungnya. Bersyukur kepada Allah sekali lagi kerana program tersebut telah berjalan lancar. Didoakan juga agar program ini pada tahun-tahun selepasnya akan berjalan dengan baik juga. Amin.
3 November—Bertempat di Dewan Syatibi, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat -Seramai 33 orang pelajar tingkatan 1 diserahkan kepada MTAQ